Friday, February 27, 2009

SIASAT SPEAKER PERAK : SPRM JAHIL PERLEMBAGAAN

KUALA LUMPUR, 28 Feb : Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Speaker Perak, V.Sivakumar membayangkan badan itu tidak memahami asas perlembagaan negara dan negeri.
"Tindakan itu jelas menunjukkan bahawa SPRM tidak memahami asas perlembagan negara dan negerai yang mana Speaker Dun Negeri dan Parlimen itu adalah di luar daripada tugas dan bidang kuasa pihak seperti SPRM untuk campur tangan," kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar. (gambar)
Malah katanya, lebih hina lagi apabila SPRM membuat siasatan dan memanggil Speaker untuk disiasat yang mana itu satu kesalahan dari segi perbezaan dan kewibawaan atau kedudukan tinggi Parlimen atau Dun, katanya.
Perkara ini katanya adalah soal keluruhan yang tidak boleh dipersoalankan dan menjadi bahan.
"Lainlah jika speaker ada tuduhan bunuh, rogol, rasuah dan sebagainya, tetapi jika Speaker buat keputusan dengan kedudukan rasmi selaku Speaker, saya tak nampak macam mana SPRM boleh buat siasatan," katanya.
Mengulas kononnya SPRM bebas kerana keanggotannya pelbagai termasuk dari kalangan pembangkang, Kamarudin menafikan ianya benar-benar bebas.
"Keanggotaan yang dipertonton kononnya bebas, tetapi sebaliknya setakat ini tak nampak kesan yang sepatutnya atau boleh diharapkan daripada pengujudan dan perlantikan jawatankuasa yang kononnya bebas kerana libatkan tokoh pembangkang," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.
Seharusnya SPRM dihormati kerana adanya jawatankuasa penasihat tetapi setakat ini SPRM berlagak bebas daripada jawatankuasa namun hanya tertakluk kepada pimpinan Umno/BN sahaja, dakwanya.
Sementara itu mengulas isu yang sama, Speaker Dun Perak pula melahirkan rasa kecewa dengan tindakan SPRM yang menyiasatnya, walaupun segala tindakannya sebagai Speaker Dewan dibuat secara sah.
"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi Dun dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku," katanya.
Sivakumar menegaskan, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".
Begitupun, Sivakumar yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM.
Baginya siasatan itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.
Jumaat lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata Suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan Dun berkuatkuasa serta merta.

No comments:

Post a Comment