Thursday, February 26, 2009

WAKIL RAKYAT PENTINGKAN DIRI : VETERAN UMNO

IPOH 26 Feb – Pemimpin atau wakil rakyat dulu dan kini mempunyai banyak perbezaannya terutama dari segi pergaulan dan perhubungan dengan masyarakat setempat. Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Umar Ismail (gambar) berkata, jika dilihat hubungan wakil rakyat sekarang dengan masyarakat setempat amat jauh sekali jika dibandingkan dengan zamannya. Menurutnya, wakil rakyat sekarang lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada keperluan rakyat.
“Rakyat dibiarkan dengan permasalahan kehidupan sedangkan wakil rakyat bersenang lenang dengan pelbagai kemudahan yang dinikmati.”
“Walhal rakyatlah yang mengundi untuk mereka konon-kononnya untuk membela nasib rakyat tapi janji tinggal janji sahaja,” katanya semasa ditemui.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, pada zamannya wakil rakyat dijulang serta setiap kali turun melawat kawasan ia disambut seperti raja. Menurutnya, wakil rakyat tidak perlu bersusah payah mengeluarkan wang untuk menganjurkan ceramah, program dan sebagainya tetapi rakyat yang akan mencari dana berkenaan untuk menganjurkan segala program berkaitan.
“Inilah yang menunjukkan jurang perbezaan yang amat ketara jika dibandingkan dengan wakil rakyat sekarang.” “Dalam sebulan belum tentu lagi dapat turun kawasan melihat dan mendengar permasalahan rakyat,” katanya.
Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gantang, Datuk Haji Ahmad Mansor berkata, dulu rakyat begitu hormat pada pemerintah terutama sekali kepada Raja. Menurutnya, kini semuanya dilanggar, undang-undang disanggah, kepercayaan dikhianati kerana semata-mata pentingkan kuasa dan wang. “Sebab itulah, tidak hairan situasi lompat parti, sudah menjadi kebiasaan kepada wakil rakyat ketika ini.”
“Mungkin juga berlakunya fenomena ini adalah disebabkan oleh negara yang sedang membangun, masing-masing mengejar kemewahan tanpa mengira nilai-nilai moral yang sepatutnya tersemat di setiap sanubari yang bergelar insan,” katanya. Ahmad yang juga Ketua Cawangan Batu Lapan berkata, paling penting wakil rakyat sekarang perlu tahu mendahulukan kepentingan rakyat berbanding peribadi.
“Wakil rakyat perlu ingat bahawa rakyat yang memilih dan melantik mereka untuk menjadi pemimpin di kawasan mereka.”
“Justeru apa yang perlu, bekerjalah untuk rakyat, dengarlah segala permasalahan mereka dan cari jalan untuk selesaikannya,” katanya.
Beliau berkata, hubungan akrab antara pemimpin dan rakyat perlu dijalin dengan erat supaya dapat memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak demi kemajuan bangsa, agama dan negara.

No comments:

Post a Comment