Tuesday, February 24, 2009

ISU SPEAKER PERAK : BN TERSEPIT

Melalui tulisan terkini daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mengajak rakyat melihat peristiwa yang akan berlaku di Perak. Peristiwa demi peristiwa menarik terjadi di sana saban hari.
Dari semua peristiwa itu, Mahathir menganggap tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Dr Zambry Abdul Kadir (digelar Menteri Besar Barisan Nasional oleh Mahathir) supaya membuat laporan polis berkenaan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak. Mahathir menganggap arahan itu sebagai perkara paling lucu.

Apakah Mahathir tergelak besar tidak pula beliau nyatakan. Bagi penulis pula, kaedah Mahathir menyebut Zambry sebagai Menteri Besar BN itu adalah menarik. Ia menggambarkan seolah-olah beliau menganggap Nizar sebagai Menteri Besar Pakatan Rakyat. Beliau mengiktiraf wujudnya dua MB sekarang dan bukannya satu MB ‘halal’ dan satu MB ‘tidak halal’. Mahathir menghujah bahawa jika keputusan dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, maka Speaker Parlimen yang banyak menggantung anggota pembangkang kerana pelbagai sebab bolehlah diadukan kepada polis. Bagi beliau, jika perkara tersebut dibolehkan, maka polis boleh dianggap lebih berkuasa daripada Speaker.

Beliau menyebut tentang kemungkinan jenayah dilakukan oleh Speaker tetapi berpendapat bahawa menggantung kelayakan menghadiri sidang Dewan bukanlah satu jenayah yang boleh diambil tindakan oleh polis. Selanjutnya, Mahathir memberitahu apa yang dibacanya bahawa Zambry akan mengingkari keputusan Speaker, dengan menghadiri sidang Dewan. Mengikut peraturan Dewan, Mahathir memberitahu, Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan Zambry dari Dewan.

Apa yang disebut oleh Mahathir ini menjadi sesuatu yang membimbangkan BN sekarang. Speaker yang ada hari ini masih kekal kedudukannya dengan jawatan itu dan jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang ada sekarang masih sahih kedudukannya dari segi peraturan dan undang-undang. Dalam sidang DUN nanti, Speaker yang ada hari ini, V Sivakumar tetap memegang jawatan itu sehinggalah DUN bersidang dan bertindak menukarkannya. Begitu kompleksnya kemelut di Perak ini sehingga menyebabkan Mahathir mengajak kita sama-masa menunggu perkembangan lanjut.

Keadaan tersebut boleh dilihat dengan pemergian seorang peguam kanan perlembagaan ke London bagi mendapatkan pandangan Queen’s Counsel (QC) atas arahan peguam BN. Terlampau banyak persoalan undang-undang yang mahu dijelaskan oleh QC dari London itu. Apakah Nizar boleh dipecat selepas beliau meminta Raja membubarkan Dewan? Bolehkah MB dipecat sungguhpun Dewan tidak dibubarkan? Bolehkah MB dipecat sungguhpun usul undi tidak percaya tidak dikemukakan terhadap kerajaannya? Apakah jawatan MB terlucut jika beliau tidak meletakkan jawatan?

Hujah-hujah kukuh diharapkan dapat diberi oleh QC dari London itu bagi membolehkan BN menghujah kembali di dalam mahkamah nanti apabila persoalan itu cuba diputuskan oleh mahkamah kita. Tidak cukup setakat itu, beban terbaharu yang dihadapi oleh BN ekoran tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak dipengerusikan oleh Speaker yang bersidang pada Rabu lepas. Beliau bertindak menggantung kehadiran Zambry selama 18 bulan dan enam orang exconya selama 12 bulan. Tindakan ini dengan ketara mengurangkan keanggotaan wakil rakyat BN kepada hanya 21 orang berbanding PR seramai 28 orang.

Jika pandangan Mahathir bahawa Speaker berhak untuk mengusung Zambry ke luar Dewan jika beliau dan rakan-rakannya itu cuba menghadiri sidang itu benar dan tepat, Speaker melakukannya apabila Dewan bersidang nanti, usul yang akan dibawa oleh Nizar nanti boleh lulus. Jika usul itu lulus, giliran kerajaan pimpinan Zambry pula akan tumbang. Nizar mengumumkan bahawa PR berhasrat untuk membawa satu usul yang menyatakan keyakinan kepada kerajaan beliau apabila Dewan bersidang nanti. Mengikut Perlembagaan Negeri Perak, Dewan mesti bersidang dalam tempoh tidak melebihi enam bulan dari sidang terakhirnya. Berdasarkan keperluan ini, Dewan mesti bersidang selewat-lewatnya pada awal Mei ini. Berdasarkan hujah penulis kemukakan melalui satu rencana sebelum ini, Sivakumar akan tetap berkeras mengisytiharkan kerusi yang dipegang oleh mantan ADUN PKR dan DAP sebagai kosong.

Sebelum ini, DUN Kelantan pernah mengisytiharkan dua kerusi iaitu Limbungan dan Sungai Pinang sebagai kosong berikutan dua ADUN dari Semangat 46 melompat parti menyertai BN. Pihak SPR tetap mengadakan pilihan raya sungguhpun kedua-dua ADUN itu membantah dan mengemukakan petisyen bagai meminta Mahkamah mengisytiharkan mereka tetap kekal sebagai ADUN Kelantan. Sebelum mahkamah membuat keputusan, kedua-dua ADUN itu bertanding kembali dalam PRK dan kedua-duanya kalah sebagai calon mewakili BN. Akhirnya, mereka kekal sebagai ADUN apabila Mahkamah mengisytiharkan bahawa Akta Anti-Lompat yang diluluskan oleh DUN Kelantan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, Speaker DUN Perak boleh bertegas untuk melarang tiga mantan rakan seperjuangannya yang melompat parti ini menghadiri persidangan Dewan sehinggalah Mahkamah menentukan status mereka. Tanpa tiga orang tersebut, kedudukan keanggotaan Dewan mengikut imbangan kelompok ialah 28 BN dan 28 PR. Proses perbicaraan yang agak lama akan berakhir dengan rayuan hingga ke mahkamah tertinggi, Ini akan menyebabkan tiga YB berkenaan terpaksa menunggu lama bagi mengetahui kedudukan mereka yang sebenar.

Kedudukan Zambry dan enam orang exconya agak berlainan sedikit kerana mereka pastinya mempertikaikan keputusan Speaker yang dibuat di luar Dewan. Penggantungan mereka dibuat bukan semasa Dewan bersidang. Kesahihan boleh dipertikaikan. Pengosongan kerusi Dewan oleh tiga ADUN yang melompat tadi adalah jelas pada takrifan Speaker (sehingga Mahkamah membuat keputusan) dan Sivakumar pasti akan tekad mengusung mereka keluar jika mereka hadir untuk mengambil bahagian nanti. Dalam kedudukan demikian, kekalutan akan tetap berlaku.

Kerajaan BN Perak tidak boleh bertindak menukar Speaker. Ia terpaksa membiarkan Sivakumar kekal menjadi Speaker untuk membolehkan parti itu terus berkuasa. Jika Sivakumar kekal sebagai Speaker, PR akan kekurangan satu undi dalam Dewan nanti. Speaker tidak boleh mengundi. Speaker hanya boleh mengundi jika wujud kebuntuan nanti. Dalam keadaan 28 orang ADUN BN menyokong sesuatu usul, undi menentang adalah hanya 27 sahaja. Sebarang usul yang ingin dibentangkan oleh PR akan tewas dalam situasi begini. Namun, untuk mengekalkan Sivakumar sebagai Speaker, tentulah satu tindakan yang hanya menyebabkan BN berada dalam kebingungan dan ketidaktentuan.

No comments:

Post a Comment