Wednesday, February 25, 2009

KEMELUT BURUK POLITIK PERAK TAK BERLAKU SEKIRANYA DUN BUBAR

Kemelut politik yang sedang berlaku di Negeri Perak Darul Ridzuan sekarang sudah tentu tidak sebegini rupa andai kata Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Apabila DUN tidak dibubarkan, kedudukan Speaker atau Yang diPertua Dewan Negeri, kekal disandang oleh penyandang sedia ada. Dalam hubungan DUN Perak, ia masih disandang oleh V Sivakumar dari DAP (Pakatan Rakyat). Begitu juga dengan keahlian Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.
Apabila Speaker memanggil MB pentadbiran Barisan Nasional, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk menghadapi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak, mahu tidak mahu Dr Zambry kena patuh.
Alasan yang diberi oleh Dr Zambry bahawa dia menghormati “institusi Speaker” hanyalah satu kenyataan politik kerana dia (Dr Zambry) sedar ataupun telah disedarkan bahawa kedudukan Speaker dan Jawatankuasa berkenaan adalah sah dari segi undang-undang mahupun Perlembagaan.
Walaupun pentadbiran kerajaan negeri telah berpindah tangan daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional seperti yang berlaku, ia tidak bermakna kedudukan Speaker dan jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk dan diluluskan oleh DUN juga gugur.
Kedudukan Speaker hanya boleh ditentukan oleh persidangan DUN itu sendiri atau atas beberapa sebab seperti yang termaktub dalam Perlembagaan termasuk perletakan jawatan.
Speaker boleh pada bila-bila masa meletak jawatannya apabila Dewan Undangan Negeri bermesyuarat pertama kalinya selepas sesuatu pilihan raya umum (perkara ini sudah tiada kaitan dengan kedudukan Sivakumar), atau apabila Speaker terhenti menjadi Ahli Dewan melainkan oleh sebab pembubarannya atau, apabila dia terhenti berkelayakan menjadi ahli, atau apabila DUN membuat ketetapan tertentu termasuk usul undi tidak percaya.
Dalam kedudukan Sivakumar, DUN Perak belum bersidang selepas perpindahan pentadbiran kepada BN dan oleh itu kedudukannya sebagai Speaker tidak tercabar dan dia kekal sebagai Speaker. Mungkin perkara ini tidak terfikir oleh pihak BN atau mereka terlepas pandang.
Oleh itu, pada pendapat saya tindakan Speaker menggantung keahlian Dr Zambry selama 18 bulan dan ahli-ahli Exconya selama 12 bulan, adalah betul memandangkan kedudukan mereka selaku Speaker dan ahli-ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak adalah sah. DUN Perak belum bersidang untuk memecat mereka dan melantik penyandang baru.
Kemelut politik Perak yang kini menjadi satu krisis Perlembagaan mungkin tidak berlaku andai kata Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan rakyat, pihak yang benar-benar berhak menentukan pembentukan sesebuah kerajaan, diberi mandat untuk memilih sama ada Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat.
Selaku manusia biasa, tidak kira kedudukan, pangkat dan darjat, kita tidak sempurna dan tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Sepintar mana, sebijak mana atau sehebat mana sekalipun, kita adalah manusia biasa dan tidak semua perbuatan kita adalah betul.
Kuasa penentu masih di tangan Paduka Seri Sultan Perak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu - bubarkan Dewan Undangan Negeri untuk membolehkan satu pilihan raya baru diadakan. Serahkan hak pemilihan secara demokratik kepada rakyat. Itulah pilihan terbaik.

No comments:

Post a Comment