Sunday, February 21, 2010

BN TETAP TUMBANG PRU13 WALAU SAYA DALAM PENJARA : ANWAR IBRAHIM

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan BN bahawa rakyat akan menolak BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang - tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak.

Katanya, rakyat sudah begitu bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan kerajaan pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada hadirin yang membanjiri rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, Anwar berkata, BN, Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah isterinya Datin Seri Rosman mansor "tidak seharusnya hidup dalam ilusi palsu'.

Katanya, mereka tidak seharusnya mempunyai persepsi salah yang para pengundi akan kembali menyokong BN jika beliau dipenjarakan.

Anwar merujuk kepada perbicaraan tuduhan kes liwat terhadapnya yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat akan bangun menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau di dalam penjara ataupun tidak.

Anwar berkata, di mana-mana sahaja, rakyat dilihat sudah bersedia untuk menolak Umno dan BN.

Beliau berkata, rakyat sudah lama hilang kepercayaan kepada Umno dan BN kerana "rasuah telah menjangkiti pentadbiran Putrajaya hingga ke akar umbinya".

Kerana rasuah, katanya, Malaysia telah jauh ketinggalan dalam bidang ekonominya, termasuk di rantau Asean.

Malaysia, katanya, kini ketinggalan di belakang Singapura, Thailand, Indonesia, malah Vietnam di segi pertumbuhan ekonomi dan daya saing.

"Kita hanya baik sedikit daripad Burma dan Zimbabwe," kata Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Majlis rumah terbuka itu dihoskan oleh ADUN Machang Bubok yang juga timbalan speaker DUN Pulau Pinang, Tan Hock Leong.

Ia turut dihadiri ADUN tunggal PAS di negeri itu, Mohd Salleh Man (Permatang Pasir).

Friday, February 5, 2010

NAJIB SAHKAN TERIMA SURAT NASIR SAFAR

MELAKA 4 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan pegawai khasnya, Datuk Nasir Safar petang semalam.

Perdana Menteri berkata, Nasir meletakkan jawatan kerana bertanggungjawab berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada Seminar Rapat 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Selasa lalu.

"Saya percaya ini merupakan satu pengajaran kepada semua pihak dan dia bertanggungjawab atas kenyataan yang telah dibuatnya Selasa lalu dan sebab itu dia letak jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Melaka di kediaman rasmi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beberapa parti komponen BN semalam mendesak tindakan tegas diambil terhadap Nasir berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Melaka kelmarin.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa hairan bagaimana Nasir yang telah membuat 60 ceramah sebelum ini dan tidak menimbulkan sebarang masalah boleh membuat kenyataan berunsur perkauman.

Menjawab soalan seorang wartawan mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kaum India mengenai soal kewarganegaraan, beliau berkata, soal kerakyatan sesuatu kaum itu dipertahankan oleh Perlembagaan negara dan perkara tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu di Johor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri telah mengambil langkah sewajarnya terhadap Nasir.

Katanya, Najib sudah pasti tidak gembira dengan insiden itu dan tindakan Nasir meletakkan jawatan menunjukkan betapa serius insiden itu.

"Apa yang saya tahu, Perdana Menteri telah mengambil langkah segera menangani insiden itu. Sudah tentu sebagai manusia kita tidak terlepas membuat kesilapan.

"Tetapi insiden itu dianggap serius dan kita menyedarinya serta tidak berhasrat menutup kes itu begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity@Iskandar hari ini.

Muhyiddin turut menjelaskan yang kenyataan Nasir itu bukan pendirian kerajaan BN dan ia amat dikesali.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi penjelasan yang telah diberikan, pihaknya berharap isu tersebut dapat diselesaikan tanpa menimbulkan perkara berbangkit.

SOKONGAN RAKYAT PERAK KEPADA PKR SEMAKIN MEROSOT..?

Tarikh 9 Februari 2010 bakal menentukan siapa sebenarnya yang sah menjadi Menteri Besar Perak. Walaupun rumors keputusan bakal memihak kepada Ir. Nizar;tetapi hakikat pahitnya keputusan yang bakal dirasai oleh pendokong-pendokong Pakatan Rakyat tidak dapat dielak.

Sejak peralihan kuasa nyata Pakatan Rakyat tidak mampu menyaingi berita-berita yang didendangkan oleh akbar dan media arus perdana. Ada dikalangan pemimpin PR mengakui sokongan rakyat Perak kepada mereka semakin merosot terutamanya di kawasan pendalaman dan golongan muda yang agak jengkel atau tak mahu ambil peduli dengan kebobrokan senario politik negara.

Roadshow Pakatan Rakyat mengenai keputusan bocor yang dikatakan memihak kepada Ir. Nizar bakal menambahkan kemerosotan yang parah andai kata Dr. Zambry memenangi kes ini. Kita tunggu keputusannya pada 9 Februari ini.