Friday, February 27, 2009

TAWARAN RM20 JUTA UNTUK 2 ADUN PR MENGARUT - NAJIB

Friday, 27 February 2009 : Datuk Seri Najib Razak menganggap dakwaan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak daripada Pakatan Rakyat kelmarin yang membuat laporan ditawarkan sehingga RM20 juta supaya menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai Barisan Nasional (BN), tidak masuk akal.
Timbalan Presiden Umno itu berkata, pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa pihak yang membuat dakwaan palsu akan didakwa.
"Kita tidak tahu apa-apa pun, dia saja yang mendakwa... mengarut semua ini. Saya tidak tahu, biarlah SPRM siasat.
"Saya hendak tegaskan di sini bahawa sesiapa yang membuat laporan palsu, akan didakwa," katanya kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Mesyuarat Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) mengenai Jaminan Makanan, di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Rohani Abdul Karim.
Kelmarin, Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh daripada DAP dan Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamsari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan di pejabat SPRM di Ipoh, mendakwa mereka ditawar sehingga RM20 juta serta jawatan oleh pihak tertentu supaya menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai BN.
Keshvinder juga mendakwa beliau menerima pelbagai tawaran daripada beberapa ejen yang mengaku mewakili Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Perak dengan seorang daripada ejen itu ialah wartawan akhbar berbahasa Cina.

No comments:

Post a Comment