Sunday, March 1, 2009

PERKATAAN 'ALLAH' BOLEH DIGUNAKAN AGAMA LAIN

1 Mac :Perkataan Allah boleh digunakan oleh masyarakat agama lain kerana di zaman jahiliah mereka menggunakan perkataan itu yang dimaksudkan untuk pencipta langit dan bumi walaupun mereka menyembah berhala sebagai tuhan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkara itu terserah kepada Kerajaan Pusat membuat keputusan kerana beliau enggan mencampurinya dan enggan memberikan komen lanjut.
“Saya tidak mahu campur isu ini kerana dalam akhbar kenyataan tidak menentu. Dulu terjemahan ‘God ‘sama dengan 'Allah' adalah salah. ‘God’ disamakan tuhan betul tetapi 'Allah' disamakan dengan ‘God’ memang tidak betul.
“Dalam al-Quran pernah disebuat perangai orang Mekah zaman jahiliah yang menyembah tokong dan berhala sebagai tuhan tetapi jika ditanya siapa yang mencipta langit dan bumi mereka akan memberikan jawapan 'Allah',” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Al-Quds Travel Sdn Bhd di sini, semalam.
Menurutnya, perkataan 'Allah' dari zaman berzaman disebut masyarakat bukan Islam dan maknanya golongan itu boleh menggunakan perkataan Allah. Bagaimanapun, katanya, itu terserah kepada Kerajaan Pusat untuk membuat keputusan supaya tidak mengelirukan masyarakat kerana beliau tidak suka memberi ulasan isu-isu seumpama itu.
Kelmarin, akhbar melaporkan pewartaan kebenaran penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan agama Kristian dibatalkan kerana terdapat kesilapan pada warta tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata, perintah yang diwartakan pada 16 Februari lalu itu bertentangan dengan keputusan kerajaan sebelum ini dan ia dibuat sebelum mahkamah memberikan keputusan. Sehubungan itu katanya, kementerian membatalkan pewartaan tersebut dan memperbetulkan segera kesilapan berkenaan.

No comments:

Post a Comment