Friday, February 5, 2010

NAJIB SAHKAN TERIMA SURAT NASIR SAFAR

MELAKA 4 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengesahkan sudah menerima surat peletakan jawatan pegawai khasnya, Datuk Nasir Safar petang semalam.

Perdana Menteri berkata, Nasir meletakkan jawatan kerana bertanggungjawab berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada Seminar Rapat 1Malaysia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Selasa lalu.

"Saya percaya ini merupakan satu pengajaran kepada semua pihak dan dia bertanggungjawab atas kenyataan yang telah dibuatnya Selasa lalu dan sebab itu dia letak jawatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) Melaka di kediaman rasmi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beberapa parti komponen BN semalam mendesak tindakan tegas diambil terhadap Nasir berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Melaka kelmarin.

Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa hairan bagaimana Nasir yang telah membuat 60 ceramah sebelum ini dan tidak menimbulkan sebarang masalah boleh membuat kenyataan berunsur perkauman.

Menjawab soalan seorang wartawan mengenai khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kaum India mengenai soal kewarganegaraan, beliau berkata, soal kerakyatan sesuatu kaum itu dipertahankan oleh Perlembagaan negara dan perkara tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu di Johor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri telah mengambil langkah sewajarnya terhadap Nasir.

Katanya, Najib sudah pasti tidak gembira dengan insiden itu dan tindakan Nasir meletakkan jawatan menunjukkan betapa serius insiden itu.

"Apa yang saya tahu, Perdana Menteri telah mengambil langkah segera menangani insiden itu. Sudah tentu sebagai manusia kita tidak terlepas membuat kesilapan.

"Tetapi insiden itu dianggap serius dan kita menyedarinya serta tidak berhasrat menutup kes itu begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Stadium dan Kompleks Sukan Educity@Iskandar hari ini.

Muhyiddin turut menjelaskan yang kenyataan Nasir itu bukan pendirian kerajaan BN dan ia amat dikesali.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menerusi penjelasan yang telah diberikan, pihaknya berharap isu tersebut dapat diselesaikan tanpa menimbulkan perkara berbangkit.

No comments:

Post a Comment